LAPORAN POLIS TERHADAP PROF. DATUK DR ZAINAL KELING

Laporan Polis oleh Dewan Pemuda PAS Kaw Bayan Baru di Balai Polis Bayan Baru pada 16 Sep 2011 pukul 4.00ptg. Dibawah adalah Laporan Penuh.

_________________________________________________________________________________________________________

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Keling dalam satu sidang akhbar di Putrajaya pada 9 September 2011 lalu telah mengatakan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya hanya dilindungi dan dinaungi oleh British. Beliau mengatakan lagi “jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar”.

Saya, mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan Bayan Baru amat terkejut dengan kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh seorang yang berpengaruh dan dikatakan pakar dalam bidang sejarah tanahair malah dinyatakan beliau mewakili Majlis Profesor Negara. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengganggu-gugat kestabilan dan mengelirukan segenap lapisan masyarakat yang telah sekian lama diajar dan difahamkan bahawa British adalah penjajah Negara dan kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 merupakan kemerdekaan dari penjajahan British.

Kenyataan ini juga sekaligus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bayan Baru merasakan terdapat agenda tersembunyi yang dirancang oleh pihak tertentu di sebalik kenyataan ini yang bertujuan menggugat keharmonian dan mewujudkan kegusaran dalam masyarakat bagi mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu lain yang gagal ditangani oleh pihak yang berwajib. Kenyataan ini juga mencerminkan seolah-olah rakyat telah ditipu selama 54 tahun apabila menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai ulangtahun kemerdekaan negara dari cengkaman penjajahan British di samping ia juga telah menghina Raja-Raja Melayu yang digambarkan seolah-olah tidak berbuat apa-apa bagi menghalang kemasukan penjajah ke Tanah Melayu. Sekiranya Negara tidak pernah dijajah dan hanya dilindungi atau dinaungi oleh British Apa perlu duit rakyat dihabiskan oleh Kerajaan setiap tahun untuk mengadakan majlis sambutan Kemerdekaan secara besar-besaran?

Tiadanya pendirian yang jelas di pihak kerajaan berkenaan perkara ini memburukkan lagi keadaan dan dikhuatiri akan menimbulkan keadaan huru-hara dalam masyarakat jika tidak dibendung dari awal apabila rakyat merasa tertipu dan mengambil tindakan sendirian yang bertentangan dengan undang-undang.

Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bayan Baru menuntut agar Prof Datuk Dr Zainal Keling disiasat dan didakwa di mahkamah kerana secara jelas telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan atau berita yang telah menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong dan/atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Sekian laporan saya.

………………………………….

Dzul Fahmi Bin Abu Bakar

Ketua Pemuda Kawasan Bayan Baru

~ by dfr175 on September 18, 2011.

One Response to “LAPORAN POLIS TERHADAP PROF. DATUK DR ZAINAL KELING”

  1. Apalah punya IQ makhluk ni. Kita dah lama merdeka pun dia tak perasan yang dia pernah kena jajah.

    Bukan dijajah sekali, dah banyak kali, dari Portugis, Belanda, Jepun dan British.

    Munkin sekarang ni pun banyak perkara lagi yang dia masih blurrr…….dia tak perasan……

    Dulu dia tak sedar negara kita kena jajah, sekarang pun munkin dia tak tahu kita dah merdeka.

    Kesian nya anak anak kita dapat orng macam ni penah dijadikan guru mereka.

Leave a comment